Pages

Tuesday 22 December 2015

Perkasakan Sistem Imun Anda

Imun Kuat Anda Sihat!
Rahsia hidup sihat yang berpanjangan.


Ungkapan "anda adalah apa yang anda makan" memang ada kebenarannya, tetapi kesihatan anda juga bergantung kepada apa yang anda lakukan. Sebab itu pemilihan cara hidup yang sihat boleh mempengaruhi keupayaan anda untuk mengelak dari pelbagai penyakit. Jadi, langkah-langkah berikut, antara lain, boleh menguatkan sistem imun badan anda:


  • Melakukan senaman secara konsisten
  • Menghadkan pengambilan kopi dan gula
  • Mengambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Minum banyak air kosong yang bersih
  • Makan mengikut waktu yang teratur - sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam


Pentingnya Vitamin



Walaupun anda tidak pernah atau kurang mengambil makanan segera atau makanan yang diproses, dan anda makan mengikut waktu yang teratur, badan anda masih memerlukan sedikit sebanyak bantuan nutrien untuk memperkasakan sistem imun badan anda, kerana banyak makanan-makanan mentah di pasaran sudah kekurangan vitamin dan mineral (disebabkan oleh pelbagai faktor seperti cara penanaman dan pembajaan yang tidak betul, terlalu lama dalam simpanan, dsb). Oleh itu pengambilan multivitamin akan membantu anda memperolehi nutrien yang mencukupi. Tambahan lagi, sekiranya badan anda kekurangan nutrien-nutrien tertentu (seperti Vitamin C, Zinc dan Vitamin D), badan anda akan terdedah kepada pelbagai jangkitan atau serangan penyakit. Oleh itu pengambilan multivitamin boleh membantu.


Rehat yang mencukupi



Stres atau tekanan perasaan boleh mengganggu sistem imun badan anda yang akhirnya akan menyebabkan badan anda tidak mampu melawan serangan bakteria atau kuman. Stres boleh terjadi disebabkan oleh kesibukan menguruskan kerja-kerja pejabat atau kerja-kerja rumah sehingga tidak mendapat rehat yang mencukupi. Jadi amat penting untuk mendapatkan rehat yang secukupnya bagi mengurangkan stres. Terdapat pelbagai cara yang anda boleh lakukan untuk merehatkan badan, antaranya:


  • senaman yoga
  • meditasi
  • berendam dalam air suam dengan minyak yang boleh menenangkan fikiran seperti lavender
  • berjalan-jalan atau bersiar-siar di taman atau di pantai
  • membaca buku-buku yang bersesuaian dengan minat anda


Apa-apapun yang anda lakukan - atau tidak melakukan apa-apa - hendaklah sesuatu yang boleh menjauhkan anda atau fikiran anda dari kerja-kerja pejabat atau kerja-kerja rumah yang meletihkan tadi.

Tidur yang mencukupi


Tidur yang mencukupi
memantapkan sistem imun
Ada pendapat yang mengatakan bahawa tidur yang mencukupi adalah tidur selama 8 jam yang berterusan. Sesetengah yang lain pula berpendapat tidur berterusan selama 6 jam sudah mencukupi. Jadi di sini kita dapat rumuskan bahawa tidur yang mencukupi ialah tidur yang berterusan di antara 6 jam hingga 8 jam sehari pada waktu malam.

Tidur yang tidak mencukupi juga boleh mengganggu sistem imun. Ia berhubung kait dengan rehat tadi. Apabila anda tidur kurang dari 6 jam, bermakna badan anda belum mendapat rehat yang mencukupi. Sekiranya anda tidak mampu untuk tidur beterusan sekurang-kurangnya 6 jam pada waktu malam disebabkan kesuntukan masa, ada pendapat mengatakan tidur sekejap pada waktu tengahari, selama lebih-kurang 30 minit, boleh membantu mengurangkan tekanan pada sistem imun.

Bagi yang ada masalah untuk tidur berterusan selama 6-8 jam, anda mungkin menghidapi penyakit insomnia. Pengambilan vitamin C dan Zat Besi mungkin boleh membantu.


Suburkan bakteria baik


Anda mungkin tertanya-tanya, apakah betul ada bakteria baik?

Probiotik adalah bakteria baik
untuk memelihara sistem imun
Dalam badan manusia terdapat tidak kurang dari 100,000 juta bakteria yang menghuni sistem penghadaman. Antaranya ada yang baik (probiotik) dan ada yang jahat (patogenik). Nisbah bakteria probiotik kepada bakteria patogenik akan menentukan kedudukan sistem imun badan. Sekiranya jumlah bakteria probiotik mengatasi jumlah bakteria patogenik, maka ini akan menguatkan sistem imun, dan sebaliknya. Bakteria probiotik juga bertindak mewujudkan  suasana yang tidak sesuai untuk bakteria patogenik hidup, jadi amat penting untuk menyuburkan bakteria probiotik ini.

Sumber makanan yang bagus untuk mendapatkan probiotik adalah makanan-makanan yang diperam seperti yogurt, timun peram dan tempe. 

Probiotik adalah bakteria hidup. Setiap yang hidup memerlukan makanan untuk bergiat aktif dan membiak. Langkah pertama ialah mendapatkan bekalan probiotik dari sumber makanan seperti yang dinyatakan di atas. Jadi langkah kedua ialah menyuburkannya dengan prebiotik. Prebiotik adalah makanan atau baja kepada probiotik. Prebiotik juga diperolehi dari sumber-sumber makanan seperti bawang putih dan bawang merah, buah pisang, asparagus dan sebagainya. Tetapi sumber makanan yang paling kaya dengan prebiotik ialah Gam Arab. Gam Arab banyak terdapat di Sudan dan di negara-negara lain di Afrika. Ia berasal dari getah pokok Akasia yang mengeras dan kemudiannya dihancurkan menjadi serbuk untuk dicampurkan ke dalam minuman atau makanan.

Lihat seterusnya tentang Fungsi Gam Arab.



1 comment:

  1. Sistem penghadaman memerlukan prebiotik dan prebiotik sebagai perisai kepada kesihatan.

    Selain itu juga, sistem penghadaman juga memerlukan inulin sebagai makanan kepada probiotik.

    Maka kita perlukan juga cukupkan dan pelihara sistem penghadaman sepertimana kita pelihara sistem jantung dan buah pinggang. Semuanya perlukan ilmu permakanan yang betul

    https://ahmadghazali.com/

    ReplyDelete